Label

Isnin, 6 Jun 2011

rindu akukah milikmu?

RINDU AKUKAH MILIKMU?

Ketukan di pintu menyebabkan aku terkejut. Kertas yang berserakan di lantai cepat-cepat aku pungut. Segaris kenangan yang mewarnai haitiku telah pergi bersama ketukan di pintu itu.

Sesusuk tubuh melangkah masuk apabila pintu terkuak. Ibu tersenyum bangga. Namun, kedutan di wajahnya tak dapat disembunyikan lagi. Mungkin dalam usia mudanya dia terlalu kuat bekerja. Detik hatiku.

“Kenapa Ika ni? Mak tengok Ika asyik berkurung je. Ada perintah berkurung ke?” ibu berseloroh. Aku tersenyum bersahaja.

“Nak habiskan kerja-kerja ni. Esok dah kena hantar.” Bicaraku acuh tak acuh.

“Ika, Ika! asyik bekerja saja. Tak ingat nak berumah tangga ke?” keluh ibu, sedikit hampa.

“Hish, mak ni! sampai masa nanti Ika kahwinlah, mak. Buat apa nak risau sangat,” Aku menepis bicara ibu dengan lembut agar dia tidak tersinggung dengan kata-kataku. Aku tak mahu hati ibu terguris lagi. Sudahlah Abang Syakir jarang pulang saja, ibu merajuk hati. Abang Syakir pun satu hal, suka melihat ibu merajuk. Dengar cakap bini! kutukku di dalam hati.

“Ika, minggu depan ada rombongan nak datang merisik kau. Apa kata Ka?” soal ibu, sedikit tersenyum. Matanya merenungku dalam-dalam.

“Apa mak? Ada orang nak datang merisik? Merisik siapa?” soalku seperti tidak mengetahui apa-apa sedangkan hanya aku seorang sahaja anak perempuan ibu.

“Mak Cuma ada seorang saja anak perempuan, Ika. Takkanlah dia orang nak datang merisik mak pulak. Ayah kau pun masih ada,” ucap ibu sambil tangan halusnya mencubitku. Aku tergelak kecil.

“Ika belum bersedia, mak. Ika nak berjaya dalam karier dulu.” Aku sengaja mencipta
alas an. Di hatiku, Fariz masih bertakhta. Biarlah, biar lelaki itu tidak tahu aku amat meminatinya. Biarlah aku terpaksa menanti dia untuk sejuta tahun lagi. Naluriku
berkata-kata, menghalangku menerima pinangan orang.

“Ika, kerja-kerja juga. Ingatlah Ika wanita yang telah dewasa dan memerlukan orang lain untuk berkongsi hidup. Mak dan ayah entah sampai bila akan dapat hidup,” ucap ibu, bernada sedih. Aku lihat matanya mula berkaca.

“Mak, janganlah nangis. Mak berilah Ika masa untuk berfikir.” Aku cuba memujuk ibu. Aku tahu dia mula digigit pilu, suaranya juga mula serak. Aku juga rasa bersalah membiarkan ibu menangis begitu.
Malam itu, kenangan lama kembali menjadi penari setia di pentas ingatanku. Fariz datang bersama senyumnya yang manis. Fariz bijak, bergaya, hidung sederhana mancung tempat cermin matanya bertenggek, kulit sedikit cerah, tinggi lampai dan digilai ramai. Dia juga gemar bertukar perempuan! Sekejap-kejap Liza; anak taukeh computer, sekejap-kejap Wati, dan entah siapa lagi yang menjadi penghias taman cinta monyetnya. Walaupun begitu, aku telah jatuh hati kepadanya.

“Ika, kenapa menung?” suara itu memecah kesunyianku di sudut perpustakaan. Nora, janganlah mengganggu aku. Pinta hatiku, bisu.

“Ika, kau tahu … Fariz begitu betah berbicara tentang cinta dengan aku semalam. Geli aku dengan lelaki tu,” ucap Nora cuba menarik perhatianku untuk berbual dengannya.

“Sudahnya, apa kau kata pada dia?” aku cuba menutup debar di hatiku. Dia tak perlu tahu bahawa Fariz telah kemas terpahat di taman cintaku.

“Aku tak layan…” ujar Nora tergelak besar. Aku hanya memandang sepi.

Pertemuanku dengan Nora berakhir di situ bila Suzi datang mengajak Nora ke kafeteria. Aku masih di situ terus mentelaah buku tebal yang masih bercelaru isinya bila pelbagai persoalan bercampur-campur dalam diriku.

Selepas hari itu, aku tidak bertemu dengan Nora lagi. Mungkinkah Nora juga telah terpengaruh dengan cinta Fariz? Bunga-bunga cemburu telah berputik tetapi sengaja aku cuba menghancurkan tunas-tunas itu agar tidak terus tumbuh.

Terkejut aku apabila suatu petang, ketika sedang mentelaah di perpustakaan seorang jejaka telah datang mengambil tempat di hadapanku. Wajah itu begitu tampan pada pandanganku. Fariz, mengapa kau suka membuat hatiku berdebar? Soal hatiku cuba mencari jawapannya. Dia langsung tidak menegurku. Malah, buat acuh tak acuh sahaja memandangku. Yang lebih memilukan aku apabila dia melindungi wajahnya dengan sebuah buku tebal seolah-olah tidak mahu aku menjamah wajahnya.

Pernah dulu ketika aku berpapasan bahu dengan jejaka itu, dia mengelak tanpa segaris senyum pun di bibirnya. Semua itu memedihkan. Aku tak mahu mengenanginya tetapi saat-saat itu tetap berkunjung di laman hatiku.

“Hai, Riz,” suara itu menyebabkan aku terhenti dari membaca. Wajah kuangkat, sedikit. Aku ingin mengetahui siapakah gadis itu. Nora! Benarlah seperti apa yang aku jangkakan. Kau telah terjerat dengan cintanya! Jerit hatiku, geram. Hatiku bagai dihiris dan dicincang. Pedihnya terasa amat.

Suatu hari, aku terlihat dia bermotosikal. Pemboncengnya adalah Nora. Nora, teman sekelasku. Fariz, jejaka yang mengikuti kursus kejuruteraan itu tidak pernah tahu bahawa perempuan tergilakannya kerana ketampanan dan kekayaannya sahaja. Mereka juga bodoh kerana memilih Fariz kerana ketampanan dan kekayaannya. Tidak terfikirkah dia akan meninggalkan mereka? Hatiku terus membuat telahan tentang jejaka itu.

Setelah peperiksaan akhir tamat, semua siswa-siswi bergembira. Jamuan makan malam diadakan untuk meraikan hari perpisahan. Aku memilih baju kebaya biru laut. Pakaian itu aku tempah khas untuk meraikan teman-teman.

Malam yang dinantikan tiba, aku dan Farah bergandingan menuju ke Dewan Tunku Iskandar Syah dengan wajah ceria. Aku gembira kerana peperiksaan telah tamat, aku gembira kerana dapat menjawab soalan dengan baik. Kegembiraan itu merona hingga ke wajahku.

Kami memilih tempat yang agak tersorok sedikit. Farah memberitahu bahawa dia telah jatuh cinta dengan seorang jejaka yang tak kurang hebatnya. Siapakah dia? Farizkah jejaka itu? Soalan demi soalan mengetuk pintu akalku. Mestikah bunga-bunga cemburu yang telah aku musnahkan tunasnya, berkembang lagi? Tidak! Aku tak mengizinkan tunas-tunas itu kembali mekar. Aku
Mahu melupakannya! Jerit hatiku, pedih.

“Siapa jejaka bertuah tu, Farah?” soalku menunjukkan minat terhadap ceritanya.

“Teman baik fariz,” ceritanya. Teman baik Fariz? Siapakah dia? Alangkah bodohnya aku kerana tidak peka siapakah teman baiklelaki itu.

“Amir. Kau takkan tak kenal. Kau kenal Fariz tak? Dia cuba mengorek rahsiaku.

“Tak!” bohongku. Dia tak perlu tahu cinta kasihku kepada lelaki itu. Aku menyedari siapalah diri ini. Syafika, seorang gadis yang sederhana, mataku sepet, hidung sedikit mancung, Tidak langsung menarik hati sesiapa. Fikirku sendiri.

“Mengelamun?” Farah menepuk bahuku.

“Tak adalah,” balasku menutup malu kerana diamuk badai khayalan.

“Hey, ingatkan siapa? Cakaplah… takkan dengan member pun tak nak cakap kot…” bicara Farah sambil tangan halusnya mencubit mesra bahuku. Aku tersenyum Cuma.

Ketika majlis dibuka kepada acara menjamu selera, semua siswa-siswi gemuruh bertepuk. Gamat suasana masih mampu membawa aku ke lembah perasaan yang sukar dimengertikan.

“Jom Ika,” Farah menarik tanganku. Aku mengekor langkah Farah biarpun aku terus dengan duniaku.

“Hai, tak nampak orang ke? Buka mata besar sikit!” suara itu memecah sepi di hatiku. Wajah aku angkat, malu. Dia yang menengking aku? Fariz, sampai hati kau buat aku malu begini! Jerit hatiku tak sanggup menjadi perhatian ribuan mata. Malu!

“Ika, kau jalan tengoklah orang. Tak fasal-fasal dapat malu.” Marah Farah. Aku akur. Malu itu tak dapat aku bendung lagi.

Selera makan aku tiba-tiba hilang entah ke mana. Hilang bersama malu yang berpanjangan. Malu kerana menjadi perhatian. Malu kerana orang tersayang yang memalukan aku. Semua itu terpaksa aku anggap endah tak endah.

Selesai majlis, aku bergandingan dengan Farah untuk pulang ke asrama. Di tengah jalan, Farah meramas jemariku. Dia menunjukkan seseorang kepadaku.

“Itulah Amir,” bisiknya. Aku Cuma mengangguk. Dulu lelaki itu pernah jua cuba mendampingiku tetapi sengaja aku cuba menjauhkan diri kerana tidak meminatinya. Bertuahlah kerana kau dapat memiliki Farah. Dia ada segala-galanya! Desis hatiku.

“Kau tahu tak siapa yang marah kau tadi tu?” soal Farah tiba-tiba memecahkan sepi di antara kami. Aku hanya menggeleng. Pura-pura tidak tahu. Sebenarnya hati ini bagai dihiris dengan belati tajam.

“Itulah Fariz, kawan Amir. Fariz tu baik. Takkan kau tak kenal. Fariz tu digelar buaya sebab suka bertukar perempuan,” Farah cuba mengorek lagi lombong rahsiaku.

“Pernah dengar nama tapi aku tak kenal orangnya,” jawabku acuh tak acuh.

“Kau ni sepatutnya kena peka sikit terhadap dunia sekeliling.” Leter Farah. Aku hanya membiarkan Farah meleteriku. Moodku juga hilang apabila nama Fariz terus
disebut-sebut.

Esok aku berkemas-kemas untuk pulang ke rumah. Sudah sebulan aku tidak mengunjungi ibu kerana kesibukan. Aku hanya mendengar suaranya melalui corong telefon. Semalam aku telah memberitahu ibu tentang kepulanganku. Aku telah meminta ibu memasak sambal petai campur bilis. Harumnya bau masakan ibu jelas tercium kini.

“Ika, salamlah aku dah nak balik. Lepas ni entah bila kita akan jumpa lagi,” ucap Zian. Bunga-bunga kesedihan jelas terbayang di wajahnya.

“Kalau nak jumpa kita boleh rancangkan di mana-mana. Itupun kalau kau sudi,” selorohku walaupun hati turut digamit kesedihan.

“Jangan cakap gitu. Mestilah aku sudi,” bicara Zian lagi. Air jernih turut bertakung di kolam matanya. Kami masih berpelukan.

Zura, Tasya dan Lili turut mengunjungi bilik L4 306, bilik aku dan Farah. Masing-masing sedih untuk berpisah. Selepas ini masing-masing membawa diri entah ke mana, aku pun tak pasti.

“Ika, ada orang kasi kau bunga,” Lili menghulurkan sejambak bunga ros merah kepadaku. Aku menyambutnya.

“Dari siapa?” soalku ingin tahu. Semua yang ada menghampiriku.

“Entah,” balasnya sepatah. Aku tidak berpuas hati lantas mengugut Lili agar dia memberitahuku.

“Tadi… flower deliver tu bagi. Kebetulan aku nak ke sini. Aku ambillah,” terang Lili serius. Lili memang begitu. Dia tidak akan berbohong jika perkara itu dianggap serius.

“Eh, siapa yang kasi hah? Ada kad kecil!” aku terjerit. Mata galak membacanya.

JUST FOR SYAFIKA SAYANG …
FROM YOUR SECRET ADMIRE …

Kami sama-sama tergelak. Siapakah yang tiba-tiba memberi bunga kepadaku. Tiga tahun aku di sini tak pernah ada orang meminatiku. Zian, Zura, Tasya, Lili dan Farah semua sering dikunjungi dengan poskad-poskad atau kad-kad yang direka sendiri. Semuanya dikenali dengan secret admire. Semua itu tak pernah aku mimpikan. Hari ini benar-benar memeranjatkan aku.

“Ika ada secret admire sekarang,” usik mereka hamper serentak.

“Ala… dia silap orang. Sebenarnya entah-entah kau orang,” balasku seperti tidak percaya dengan apa yang aku lihat di hadapanku.

“Dah siap tulis nama kau. apa pula kita orang…” kata Tasya sambil ketawa kecil.

“Haah. Kalau ada orang sudi janganlah tolak, Ika.” Zura terus mengusik. Aku menjadi malu sendiri. Mungkin orang ni saja nak buat aku perasan! Hatiku membuat telahan.

“Cepat, cepat! Kita dah lambat ni. Kalau lepas satu bas ni kena pula tunggu bas lain.” Farah mengingatkan tentang kelewatan kami.

Akhirnya, kami berpisah juga. Saat-saat yang menyedihkan itu tiba juga walaupun kami cuba menghalangnya. Persahabatan yang dibina telah dihalang oleh jarak dan waktu. Namun, aku tak akan melupakan mereka yang terlalu baik buatku. Kami sudah seperti adik-beradik. Semua kenangan bersama mereka aku abadikan di lubuk sanubariku. Biar di mana kalian berada, kalian tetap dalam ingatanku. Diam-diam aku berjanji pada diriku sendiri.

Lewat petang itu, aku tiba di rumah. Ibu telah tercegat di ambang pintu menantiku. Senyum manis terpamer di dua ulas bibir ibu. Aku menyelami tangan ibu dan mengucupnya manja.

Pagi itu, aku ke tempat kerja seperti biasa. Segala dokumen penting yang diperlukan oleh Tuan Bakri berjaya aku siapkan hingga larut malam tadi. Aku melangkah anggun masuk ke dalam bangunan pejabatku.

“Ops!” aku terlanggar seseorang. Mataku ligat mencari matanya. “Fariz!” jerit hatiku riang. Sungguhpun begitu, dia tetap seperti dulu. Masih selamba bila bersua denganku. Pertemuan itu berakhir di situ. Aku melangkah terus menuju ke bilik Tuan Bakri.

Aku mengetuk daun pintu perlahan. “Masuk,” ucap suara dari dalam. Aku menguak daun pintu lantas melangkah masuk. Tuan Bakri sedang menulis sesuatu di mejanya.

“Syafika. Duduklah dulu. Saya nak habiskan sikit lagi menyemak proposal ni.” Bicara Tuan Bakri. Tuan Bakri memang begitu. Terlalu baik buatku. Mungkin kerana aku selalu mengikut katanya. Aku membuat telahan.

“Hah! Apa yang Fika nak tunjukkan pada saya?” dia memecah kesepian antara kami.

“Dokumen yang tuan minta semalam,” ujarku lantaran menghulurkan sebuah fail yang berisi kertas-kertas. “Oh!” dia menyambutnya dariku.

“Fika, tak lama lagi saya bakal mendapat menantu. Harap-harap budak perempuan tu sudilah menerima lamaran saya.” Tuan Bakri mula mengatur kata.

“Oh… siapalah agaknya budak perempuan yang bertuah menjadi menantu tuan tu, ya?” aku mencipta perbualan meskipun itu tidak penting bagiku. Aku tak perlu tahu siapa yang menjadi pilihan tuan besarku itu.

“Hmm! Budaknya cantik, manis, sopan,
Tidak banyak kerenah dan sentiasa bekerja dengan baik. Dulu sekampus dengan anak bujang saya. Tapi sayang, anak bujang saya lebih berminat memilih bidang kejuruteraan.” Cerita Tuan Bakri seolah-olah berbangga dengan anaknya.

“Kejuruteraan?” ulangku meskipun aku telah jelas dengan keterangannya.

“Ya,” balasnya sepatah.

Kami terus menyambung kerja yang tergendala sebentar tadi. Dia mula membelek-belek apa yang perlu ditambah.

“Lengkap! ini yang menyebabkan saya suka dengan kerja-kerja awak,” puji Tuan Bakri.

“Tak adalah, tuan. Semua orang mesti ada silap,” cepat-cepat aku mematahkan pujiannya.

“Tapi, ini kenyataannya.” Kata Tuan Bakri lagi. “Okaylah, awak boleh sambung kerja. Saya ada hal penting sekejap lagi ni.” Katanya.

“Terima kasih, tuan.” Ucapku lalu beredar dari bilik Tuan Bakri sambil nyanyi-nyanyi kecil.

“Senang hati, Ika?” tegur Johari.

“Alah, Jo! tak boleh ke aku happy sikit?” balasku ketawa kecil. Dia hanya mengenyitkan matanya, nakal.

Aku terus menuju ke bilikku. Terkejut aku jadinya bila melihat sejambak bunga mawar merah seperti yang pernah aku terima setahun lalu. Berada kemas di atas mejaku beserta sekeping kad kecil. Siapakah pengirimnya? Bisik hatiku. Tangan halusku mencapai jambangan bunga itu. Aku membaca isi kad itu.

JUST FOR MY LOVE, SYAFIKA …
FROM YOUR SECRET ADMIRE …

Kata-kata yang pernha tercatat setahun yang lalu. Siapakah sebenarnya pengirim yang tidak aku kenali itu? Timbul lagi tanda Tanya dalam diriku. Aku kembali teringat pada pertanyaan ibu semalam. Aku kembali teringat pada cerita Tuan Bakri. Apakah sebenarnya yang tersirat di sebalik kata-kata itu?

Lama aku termenung memikirkan pertimbangan yang perlu aku buat untuk melegakan hati ibu dan hatiku sendiri. Perhitungan demi perhitungan aku bina dalam benak yang berserabut ini.

“Fika!” aku terkejut dengan panggilan itu. Tuan Bakri, maafkan aku kerana membiarkan perasaanku memenuhi ruang kerjaku. Aku meminta maaf atas kesilapan itu.

“Tuan, maafkan saya.” Kataku. Tuan Bakri tersenyum sumbing.

“Hai, bunga dari siapa? Cantik!” usik tuan besarku itu. Aku tertunduk malu. Kemudian, cepat-cepat mengangkat kedua-dua belah bahuku.

“Dari secret admire tu? Tentu dari somebody special.” Tuan Bakri cuba menduga lagi.

“Entahlah, tuan,” balasku sepatah.

“Saya nak keluar ni. Kalau ada apa-apa hal, telefon handset saya.” Pesannya lantas keluar tanpa menunggu jawapanku.

Malam itu, keresahan datang membaluti fikiranku lagi. Kejap-kejap aku mengiring ke kanan dank ke kiri. Puas aku merenung siling di atas untuk meminta jawapan yang pasti tetapi aku gagal.

“Bagaimana kalau Fariz juga sedang menantiku?” aku cuba mencipta soalanku sendiri. Soalan yang tidak mungkin akan mendapat jawapannya.

“Fariz tu handsomelah. Kau tak tergilakan diakah, Ika?” soal Farah suatu waktu dulu. “rugi…” sambungnya.

“Bukan aku suka orang pada ketampanannya, Farah. Aku suka pada budi bahasanya.” Balasku cuba memberikan kepastian kepada Farah kerana aku tak mahu rupa paras menjadi ukuran dalam memilih pasangan hidup.

Wajah Fariz tidak lepas-lepas menari di layer mataku. Sukar untuk aku lupakan lelaki itu. Entah ubat apa yang telah dibubuh supaya aku tidak dapat melupakannya. Aku cuba bergurau dengan diri sendiri.

Jam telah menunjukkan pukul 4:30 pagi. Mataku masih berpinar-pinar. Esok pasti mengganggu tugasanku. Aku tidak mahu Tuan Bakri mengecam kesilapanku kerana keserabutan yang begini. Akhirnya di celah keserabutan itu, aku cuba membuat satu rumus yang terbaik untuk aku beri kepada ibu. Sebenarnya telah banyak masa yang ibu beri untuk aku fikirkan tentang keputusan itu.

Terimalah keputusan itu dengan rela hati. Sesungguhnya apa yang dicadangkan oleh ibumu merupakan sesuatu yang terbaik. Suara hatiku bergema di seluruh fikiranku.

Pagi itu selesai menunaikan solat Subuh, aku bergegas mendapatkan ibu di dapur. Aku resah untuk menyatakannya namun aku perlu nekad agar fikiranku tidak terus berserabut begitu. Aku mengatur langkah menghampiri ibu dengan penuh debar. Aku pasti. Ibu begitu gembira dengan keputusanku itu.

“Mak,” panggilku manja. Ibu menoleh. “Kenapa ni?” soal ibu sambil mengusap rambutku, mesra.

“Ika ada sesuatu yang nak cakapkan dengan mak,” lancer sahaja tuturku.

“Apa dia sayang? Cakaplah,” pinta ibu tidak sabar lagi. Mungkin ibu telah menjangkakan sebelum dia mengetahuinya.

Aku menggaru kepalaku yang tidak gatal. Perlukah aku memberitahu ibu sedangkan aku telah memulakannya.

“Ika… Ika… I…ka… telah membuat keputusannya… mak. Ika harap… mak…” aku kaku di situ.

“Ika, cakaplah. Apa yang Ika nak bagi tahu mak ni?” ibu cuba mengcungkil rahsia itu. Wajahnya penuh dengan tanda Tanya.

“Ika… terima pi…na…ngan itu…” ucapku lambat-lambat antara dengar dengan tidak di telinga ibu.

“Bagus, Ika! Macam nilah anak mak… Mak tahu … Ika anak yang baik.” Puji ibu sambil mencubit pipiku.

Selesai bersarapan dengan ibu dan ayah, aku melangkah ke tempat kerja dengan fikiran yang bercelaru. Apakah keputusan itu terbit dari hatiku sendiri atau aku sengaja buat-buat untuk membahagiakan orang lain? Tanda Tanya itu masih berlegar di segenap ruang ingatanku.

Aku meneruskan kerja seperti biasa. Jika perlu berjumpa Tuan Bakri, aku akan berjumpa dengannya. Jika aku perlu menghadiri mesyuarat, aku akan menghadiri mesyuarat itu. Begitulah tugasku yang tak pernah habis sejak aku mula bekerja di sini sebagai pegawai pemasaran. Sungguhpun begitu, aku bahagia dengan tugas yang aku pikul ini. Aku dapat bertemu dengan ramai orang di luar sana dan senang aku menyediakan proposal yang dikehendaki kerana tuan besarku tidak banyak kerenahnya.

Seminggu telah berlalu. Hari yang menjadi penentu kepadaku telah tiba. Aku resah menanti kehadiran tetamu itu. Aku berjalan mundar-mandir disaksikan ibu dan ayah yang begitu ceria.

“Kenapa Ika? Bawa-bawalah duduk. Nanti pening kepala tu,” ucap ibu, bimbang.

“Tak sabar menanti kehadiran bakal bapa mentua,” usik ayah. Abang Syakir dan Kak Maria pun turut balik.

Aku diam membisu. Bagiku keresahan lebih kuat. Keresahan berada di tangga teratas dalm hatiku kini. Tak tahu bagaimana aku perlu lakukan untuk mengurangkan keresahan ini.

Deruan kereta yang membelok ke rumahku memecahkan tanda Tanya di setiap hati insan yang sedang menanti. Debar yang memukul dadaku semakin kencang. Nafasku turun naik dengan cepat. Ibu dan ayah serta Abang Syakir menjemput tetamu masuk. Kak Maria ke dapur menyediakan apa yang patut.

Mereka sibuk berbual di ruang tamu. Aku melangkah ke dapur untuk membantu Kak Maria. Aku menyusun cawan-cawan ke dalam dulang untuk dibawa ke ruang tamu. Aku cuba melawan debar di dada yang tak mahu reda.

“Angkat semua tu ke depan, Ika.” Pinta Kak Maria. Aku hanya mengangguk Tanganku pantas mencapai dulang lalu melangkah ke ruang tamu.

Dengan sopan, aku meletakkan dulang ke meja. Aku hanya tunduk kerana malu bertentangan mata dengan tetamuku itu. Bimbang mereka tahu akan resah yang sedang melanda pantai hatiku ini.

“Ika!” suara itu seperti pernah aku dengar. Tapi di mana? Aku cuba bermain dengan
teka-teki itu. Aku mula mengangkat sedikit mukaku. Tuan Bakri! Bisikku cemas.

“Tuan, macam mana tuan boleh berada di sini?” soalku sedikit gelabah.

“Bukan tuan. Abah,” balasnya berseloroh.

Diakah yang akan menjadi bapa mentuaku nanti? Patutlah dia suka bercerita tentang ketidaksabarannya menerima menantu dan anak bujangnya sekampus dengan budak perempuan yang mahu dipinangnya itu. Apa pula ceritanya dengan bunga yang dikirimkan itu? Apa kaitannya?

Dengan perasaan yang sangat malu, aku melangkah masuk ke dalam. Aku duduk di bilikku. Tidak semena-mena air jernih bertakung di kolam mataku. Apakah aku menyesali dengan keputusan yang telah aku buat? Aku sendiri tidak pasti.

Sebentar kemudian, Kak Maria mengetuk pintu kamarku. Air mata yang mengalir ke lurah pipiku segera aku seka. Perlahan-lahan aku membuka pintu itu.

“Ika, keluar mereka nak sarung cincin.” beritahu kakak iparku dengan senyum yang manis terukir di bibir seulas limaunya.

“Tapi kak…”

“Apa lagi yang tapinya. Kan ika dah memberi jawapan sebelum ini…” pujuk Kak Maria.

Mahu tidak mahu aku melangkah keluar. Puan Fatimah, isteri Tuan Bakri memulakan upacara menyarungkan cincin dan majlis pertunangan itu berlangsung juga hari ini. Aku tunduk mencium tangan Puan Fatimah.

“Esok Ika boleh bercuti.” Kata Tuan Bakri. Aku mengangguk mengerti.

Kehadiranku ke pejabat pada hari seterusnya, riuh disambut dengan usikan rakan-rakan. Aku malu.

“Ika, frust aku. Ingat kau nak pilih aku. Rupanya anak tuan jadi pilihan kau.” Rajuk Johari, pura-pura kecewa.

“Gatal!” marahku, memasamkan mukaku.

“Orang baru bertunang mana boleh marah. Kalau marah, hilanglah serinya.” Usik Liza.

“Ada-ada saja yang kau orang nak kata kat aku!” balasku mencubit Liza, mesra. Kami ketawa riang.

“Alah, bila lagi nak gurau dengan kau. Asyik sibuk aje. Ada peluang apa tunggu lagi?” kata Zainim mencelah tiba-tiba.

“Yalah, tu!” aku pura-pura merajuk.

“Ehem… ehem…” aku terkejut. Kami saling berpandangan mendengar deheman itu. Masing-masing mencuri pandang kea rah suara itu. “Encik Fariz… ingatkan siapa,” Johari cuba bergurau lagi.

“Buat apa ni?” soal lelaki itu.

“Ika ni hah… baru ditunangkan.” Johari cuba membongkar rahsia. Aku menjeling, marah. Aku tak mahu lelaki itu mengetahuinya. a

Dia hanya tersenyum-senyum memandangku. Hatiku begitu marah dengan tingkah lakunya.

“Tahniah! Semoga gembira jadi menantu tuan besar,” balasnya seperti mengejek. Aku jadi bungkam. Itulah pertama kali dia berbicara denganku.

“Fariz, masuk bilik abah kejap.” Pinta Tuan Bakri.

Dengan langkah yang sangat anggun, dia melangkah mengekori abahnya ke dalam bilik. Dia anak Tuan Bakri! Jeritku riang.

1 ulasan:

  1. dah habis ke? atau ada sambungan..
    apa2 pon besttttt

    BalasPadam

tinggalkan komen di bawah

Pengikut

Catatan Popular

KENALI SAYA

Foto saya
Sungai Petani, Kedah, Malaysia
Saat yang terindah adalah ketika impian terlaksana!!!

pautan blog

Arkib Blog

Jumlah Paparan Halaman